DAP perlu guna PRN Melaka, Sarawak untuk penuhi konsep Impian Malaysia – Kit Siang

0
2
KRedit: The rocket

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mengingatkan pemimpin,ahli dan penyokong parti itu supaya menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak sebagai platform memperbaharui harapan untuk semua rakyat Malaysia diperjuangkannya selama ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengingatkan bahawa konsep Impian Malaysia yang dibawa DAP perlu dijayakan walaupun ia sukar.

“Hari ini, saya mengutuskan surat terbuka kedua, untuk menegaskan yang PRN Melaka dan Sarawak ini mesti memperbaharui harapan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.

“Impian Malaysia ini, walaupun sesukar mana sekali pun, tidaklah mustahil untuk dicapai,” katanya melalui surat terbuka ditujukan kepada pemimpin, penyokong, dan ahli DAP di dalam dan luar negara, hari ini.

Kit Siang berkata, semalam satu surat terbuka juga ditujukan kepada partinya bagi menyatakan golongan pentaksub dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu menjadikan PRN Melaka dan Sarawak untuk melenyapkan DAP.

“Golongan yang mahu PRN diadakan tahun ini percaya ada kemungkinan DAP boleh dikalahkan sepenuhnya.

“Golongan ini telah menang berbanding dengan golongan sederhana yang mahu menegakkan memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui sebelum ini untuk menunda pilihan raya.

“Saya memberikan amaran yang DAP berhadapan ancaman besar dan begitu juga nasib Impian Malaysia untuk membina sebuah masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya dalam sebuah negara berkelas dunia,” katanya.

Menurutnya, satu-satunya perkara yang betul dibuat oleh Ismail Sabri selepas menjadi Perdana Menteri, selain daripada menandatangani MoU, adalah slogan ‘Keluarga Malaysia’.

“Ia merupakan satu penghormatan kepada konsep Impian Malaysia DAP yang menegaskan bahawa Malaysia hanya mampu berjaya sebagai sebuah negara berkelas dunia sekiranya kita semua bersatu.

“Tetapi, ‘Keluarga Malaysia’ ini kekal hanya sebagai satu slogan dalam 77 hari Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, kerana beliau gagal untuk memberikan makna kepada dasar-dasar Keluarga Malaysia ini,” katanya.

Menurutnya, Bajet 2022 memberikan satu peluang sangat baik untuk Perdana Menteri mengubah Keluarga Malaysia ini daripada sekadar satu slogan kepada dasar, namun perkara bertentangan yang dapat dilihat dalam belanjawan ini.

Kit Siang berkata, kecekalan, stamina, dan komitmen jangka panjang diperlukan untuk memenuhi Impian Malaysia, demi masa depan Malaysia dan rakyatnya, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.

“Inilah mesej yang perlu kita sebarkan dalam PRN Melaka dan Sarawak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here