TIGA kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah, Kuala Lumpur dan Johor, hari ini membabitkan kluster tempat kerja, pendidikan tinggi dan komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster-kluster berkenaan adalah Kluster Dah 3/5 Industri Sungai Petani 2, di Kuala Muda, Kedah membabitkan kluster tempat kerja dengan 54 kes.
“Kluster Jalan Yahya 4 di Titiwangsa, Kuala Lumpur membabitkan kluster pengajian tinggi dengan sembilan kes positif Covid-19 dikesan setakat ini.
“Kluster komuniti pula adalah Kluster Muhibbah Sungai Papan, di Kota Tinggi, Johor dengan 17 kes positif dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan kluster dilaporkan setakat ini adalah 5,796 kluster dengan 5,441 kluster telah tamat dan
355 kluster masih aktif.
Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes sembuh yang dilaporkan hari ini adalah 5,579 kes menjadikan keseluruhan kes sembuh adalah 2,401,823 kes.
“Daripada 4,922 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 10 kes adalah kes import membabitkan tujuh warganegara dan tiga bukan warganegara.
“Kes tempatan adalah 4,912 kes membabitkan 4,690 warganegara dan 222 bukan warganegara,” katanya.
Beliau berkata, daripada 4,922 kes harian yang dilaporkan hari ini, 80 kes atau 1.6 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 4,842 kes atau 98.4 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 549 kes dengan 529 kes disahkan Covid-19; 20 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.
“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 282 kes membabitkan 214 kes disahkan Covid-19; 68 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost

