Anwar umum status dua bekas ADUN Umno sertai PH esok

0
1
anwar ibrahim

KEDUDUKAN dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka bulan lalu, untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mewakili Pakatan Harapan akan diputuskan malam ini.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau perkara itu akan diputuskan dalam perbincangan khas bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng lewat malam ini.

“Kita dalam Majlis Presiden PH menerima pelbagai pandangan berkaitan hasrat bekas ADUN berkenaan, ada yang mencadangkan, saya hormati setiap pandangan mereka.

“Kita akan ambil pendirian sama ada menolak sama sekali, atau memberi ruang dengan syarat mereka menerima kenyataan, dasar dan kepelbagaian kita.

“Maka sebab itulah pertimbangan kita setakat apa yang saya faham, PKR memilih satu (bekas ADUN Umno) dan Amanah memilih satu,” katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan di laman Facebooknya secara langsung sebentar tadi.

Beliau berkata, perkara itu akan dimuktamadkan lewat malam ini dan pagi esok akan diumumkan.

“Oleh itu saya minta maaf kalau ada berbeza pandangan dengan rakan-rakan yang selama ini konsisten menyokong kita dan akan buktikan landasan perjuangan (PH) tidak akan kita korbankan,” katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR sebelum ini memaklumkan nasib dua bekas ADUN Umno, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, untuk bertanding mewakili PH pada PRN Melaka masih dalam perbincangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here