Polis minta orang ramai bantu kesan Clare Brown

0
2

EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown kini disenaraikan sebagai orang dikehendaki kerana gagal hadir pada prosiding pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, 23 September lalu.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita terbabit membantu mengesannya.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Clare Brown @ Clare Rewcastle Brown diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Superintendan Junainah M Kasbolah di talian 019-7051222.

“Atau Pegawai Penyiasat Kes Asisten Superintendan Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440.

“Penama ini dikehendaki bersabit waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, waran tangkap itu dikeluarkan berikutan kegagalannya untuk hadir pertuduhan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Pada 23 September lalu, Majistret Nordiana Abd Aziz mengeluarkan waran tangkap terhadap Carle Brown, 62, yang berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Sultanah Nur Zahirah pada 21 November 2018, memfailkan saman RM100 juta dan mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu.

Clare Brown turut didakwa memfitnah Baginda menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here