JAGUH lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli gagal membuktikan sampai pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran acara disertainya pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang lalu hingga dibatalkan pingat emas dimenanginya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden menimpa atlet negara itu mendapati dia terbukti lewat untuk tiba di bilik menunggu.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat hasil daripada sesi temubual serta dokumen-dokumen yang diperolehi dalam tempoh siasatan.
“Atlet dan jurulatih berkenaan tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu yang ditetapkan untuk pendaftaran di Call Room 1, walaupun pada anggapan mereka berdua bahawa mereka telah sampai sebelum tamat waktu pendaftaran.
“Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh World Para Athletic (WPA) bagi isu Ziyad, pihak Persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal Para Olahraga khususnya mengenai peraturan “Did Not Start (DNS)”.
“Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet lain iaitu dari Australia dan Ecuador telah melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Faizal turut memandang serius isu berkenaan dan berharap semua pihak harus lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.
“KBS juga akan memastikan tindakan susulan yang wajar diambil oleh atlet, jurulatih dan juga pegawai khususnya bagi tujuan kesedaran, pengajaran, penambahbaikan dan rujukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.
“Meskipun sedemikian lontaran yang dibuat oleh Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan dihargai,” katanya.
Pada 31 Ogos lalu di temasya Paralimpik Tokyo 2020, pingat emas yang diraih Ziyad bagi acara lontar peluru lelaki F20 dibatalkan selepas protes dilakukan oleh kem Ukraine.
Protes itu berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik panggilan sebelum acara mereka bermula.
Lontarannya sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya itu dibatalkan dan atlet Ukraine Maksym Koval yang melakukan balingan sejauh 17.34m menjadi rekod dunia sekaligus memenangi emas. – Malaysiapost

