BARISAN Nasional (BN) akan menampilkan lebih ramai muka baru sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil, berkata peratusan muka baru dan orang muda yang akan ditampilkan dalam PRN Melaka adalah lebih tinggi berbanding dalam pilihan raya sebelumnya.
“Majoriti calon adalah berumur di bawah 50 tahun, dan calon termuda berumur 20-an.
“Calon-calon veteran juga ditampilkan untuk menyumbang kepada rakyat dengan pengalaman mereka yang luas,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Isham berkata, sebahagian besar calon yang ditampilkan adalah berpendidikan tinggi, termasuk golongan professional yang terdiri daripada jurutera, doktor dan peguam.
“Ini adalah salah satu langkah pembaharuan yang dibuat BN dan janji yang dikota untuk mengetengahkan lagi golongan muda dan professional dalam pentadbiran dan politik.
“… di samping calon-calon veteran dan berpengalaman untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Malah, calon-calon adalah terdiri daripada pelbagai latarbelakang kaum dan agama,” katanya.
PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sekali gus menyaksikan kerajaan negeri yang diterajui BN tumbang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi undi awal dan 20 November hari mengundi umum. – Malaysiapost

