2 lelaki lemas cuba selamatkan ibu, adik

0
2

TINDAKAN dua lelaki cuba menyelamatkan ibu dan adik mereka ketika mandi di sungai dekat Loji Pembersihan Intake Air Lembaga Air Perak (LAP) di Sungai Air Beruk di Gerik, Perak, berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka lemas, petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, Abdul Rahman Ramli, 26, dan abang iparnya, Ahmad Asymuni Idris, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata insiden berlaku apabila kedua-dua mangsa berusaha menyelamatkan ibu dan adik yang hampir lemas.

Beliau berkata, mangsa bersama keluarga terdiri daripada ibu dan adik-beradik serta anak-anak saudara pergi ke tempat kejadian untuk mandi sungai, sebelum ibu mangsa hampir lemas.

“Ibu mangsa dapat diselamatkan bersama adik mangsa yang turut hampir lemas, manakala kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Gerik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ibu dan adik mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

Katanya, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk dibedah siasat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here