Tukar status tindakan ‘stalking’ kepada jenayah – Mas Ermieyati

0
1

KERAJAAN digesa supaya menukar status tindakan menghendap atau ‘stalking’ kepada jenayah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata usaha untuk menjadikan menghendap sebagai satu jenayah telah bermula sejak tahun 2019 di mana satu Jawatankuasa Anti-Stalking telah ditubuhkan.

Menurutnya, sejak awal 2020, draf pindaan undang-undang (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telah disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking, yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, satu mesyuarat telah diadakan di Parlimen semalam bagi membincangkan status kemaskini mengenai usaha menjenayahkan menghendap.

“Dalam mesyuarat ini juga, tiga orang pemandiri menghendap telah berkongsi pengalaman mereka sebagai mangsa yang masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.

“Women’s Aid Organisation (WAO) juga telah menyerahkan memorandum yang telah ditandatangani oleh 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini, kepada Timbalan Menteri, yang menggesa Kerajaan segera menjenayahkan menghendap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat, agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, wakil-wakil dari pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk WHO dan ahli-ahli akademik.

Mas Ermieyati berkata, beliau berhasrat mengadakan pertemuan bersama Ahli-ahli Yang Berhormat, agensi-agensi kerajaan dan NGO berkaitan sebelum cadangan itu dibentangkan kepada jemaah Menteri.

Katanya, ianya untuk memberikan gambaran kepada orang ramai dan lebih memahami kesan perbuatan ini kepada masyarakat.

“Kertas Dasar berserta cadangan pindaan undang-undang dijangka untuk dibentangkan di Jemaah Menteri pada bulan Disember 2021 dan pindaan tersebut akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here