Subsidi minyak meningkat, kerajaan diminta perinci sumber perolehan

0
2

[PARLIMEN] KERAJAAN diminta menjelaskan perincian sumber perolehan bagi menampung jumlah subsidi minyak yang dilapor akan meningkatkan kepada RM15 bilion tahun hadapan.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perincian itu penting dalam memastikan adakah kerajaan masih lagi dapat menampung pemberian subsidi minyak bersasar atau sebaliknya.

“Di mana kerajaan ingin mencari subsidi ini? Adakah kerajaan ingin teruskan subsidi bersasar iaitu orang yang lebih banyak kenderaan, dapat lebih banyak subsidi, orang kampung bermotosikal dapat sedikit subsidi.

“Ini subsidi yang terbalik, sepatutnya orang miskin dapat lebih banyak subsidi, orang kaya dapat sedikit subsidi tetapi subsidi ini terbalik.

“Sepatutnya subsidi ini dibuat secara bersasar, bukan tersasar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ahmad turut mencadangkan agar Kementerian Kewangan menyenaraikan projek pembangunan untuk manfaat rakyat mengikut semua kawasan Parlimen.

Katanya, langkah itu dapat memastikan peruntukan yang diterima oleh rakyat di setiap Parlimen lebih adil dan seimbang.

Jelasnya, data dan maklumat itu penting bagi memastikan semua kawasan Parlimen mendapat peruntukan yang lebih adil serta seimbang.

“Jika Bukit Bintang, Kepong, Cheras, Seputih dan Petaling Jaya mendapat berbilion ringgit, pembangunan Transit Aliran Massa (MRT), Aliran Transit Ringan (LRT), jalur lebar, 5G, lebuh raya bertingkat, lampu jalan dan bangunan kerajaan, maka kawasan lain juga perlu diberikan pembangunan yang sesuai.

“Ini supaya keadilan dapat diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia di semua peringkat Parlimen tanpa mengira kaum serta pembangunan merata bagi merapatkan jurang pembangunan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here