Cukai Makmur jana pendapatan tambahan kepada negara

0
1

[PARLIMEN] SEKURANG-kurangnya RM3 bilion pendapatan tambahan dapat dijana kepada negara melalui pelaksanaan Cukai Makmur seperti diumumkan dalam Bajet 2022.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, cukai itu akan dikenakan kepada kepada syarikat dengan pendapatan bercukai lebih RM100 juta bagi tahun depan.

“Bagi pendapatan bercukai RM100 juta pertama dikenakan cukai pada kadar 24 peratus dan selebihnya pada kadar 33 peratus secara ‘one-off’.

“Kita tidak pasti (jumlah sebenar pendapatan daripada Cukai Makmur), namun kita jangka sekurang-kurangnya RM3 bilion ke atas,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Yamani menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya anggaran perolehan kerajaan melalui Cukai Makmur, serta sama ada kerajaan mengkaji untuk wujudkan semula cukai kepenggunaan seperti cukai nilai tambah (VAT).

Berkaitan prestasi Bursa Malaysia yang dikatakan merudum dengan nilai kerugian RM33 bilion akibat pengumuman pelaksanaan Cukai Makmur, Yamani Hafez berkata, kerajaan maklum dengan perkara itu.

“Kita maklum penurunan saham RM33.8 bilion atas reaksi kepada pengumuman berkenaan, dan ia mungkin petanda jelas yang pelabur risau dengan Cukai Makmur.

“Tapi banyak juga penganalisis mengatakan mereka yang keluar itu adalah pemain saham bersifat jangka pendek.

“Kita bagi beberapa hari, perkara ini mungkin memberi ruang kepada pelabur jangka panjang untuk mendapatkan harga yang baik untuk saham yang ada sekarang,” katanya memjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan).

Tegasnya, Cukai Makmur adalah hasil cadangan banyak pihak supaya syarikat yang tidak terkesan semasa pandemik turut mengambil bahagian dalam usaha memulihkan ekonomi.

“Biarpun secara amnya kenaikan itu sebanyak sembilan peratus, ia secara ‘one-off’ dan berpatutan memandangkan syarikat berkenaan masih memperoleh keuntungan tinggi dalam tempoh satu hingga dua tahun sebelumnya, dan dilaksanakan secara adil dengan tidak menyasar industri atau sektor tertentu sahaja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here