“TIADA istilah cuti bagi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana ketika waktu cuti juga beliau akan bekerja.”
Perkara tersebut didedahkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Anuar Yunus yang menyifatkan Ismail Sabri adalah seorang yang sangat kuat bekerja.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata bukan sahaja ‘bos’ nya kuat bekerja malah mementingkan ketepatan masa dan begitu menitikberatkan kebajikan rakyat.
Katanya, kerana keprihatinan itulah timbul konsep Keluarga Malaysia kerana Ismail Sabri sentiasa mendengar suara rakyat dan mementingkan hubungan kekeluargaan.
“Selepas satu minggu yang sibuk dan produktif menyertai Sidang Kemuncak ASEAN, beliau sempat menumpukan kepada kemudian menumpukan kepada pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat oleh Menteri Kewangan.
“Hari ini (semalam), sepatutnya selepas merasmikan Hari Belia Negara 2021 di Kuala Lumpur, YAB PM boleh berehat di rumah tetapi beliau tetap bekerja untuk Keluarga Malaysia yang dikasihi,” katanya dalam hantaran itu.
Anuar berkata, beliau yang menemani Perdana Menteri kesembilan itu dapat melihatnya sangat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.
“Semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang baik kepada bos saya, YAB Perdana Menteri, diberikan kekuatan dan dipermudahkan urusannya, Ameen,” katanya. – Malaysiapost

