Perjanjian bersama Israel untuk lindungi kepentingan Bahrain

0
2

[DUNIA] Menteri Dalam Negeri Bahrain, Rashid Abdullah Al Khalifa menyifatkan perjanjian bersama Israel hanyalah bertujuan memulihkan hubungan diplomatik bagi melindungi kepentingan negaranya.

Memetik laporan Agensi Anadolu, Rashid berkata, perjanjian itu hadir dalam kerangka untuk melindungi kepentingan utama Kerajaan Bahrain termasuk entiti negara.

“Sejak awal konflik Palestin-Israel, kerajaan Bahrain berdiri teguh di belakang perjuangan Palestin dan ia kekal hingga kini.

“Deklarasi ini (perjanjian memulihkan hubungan) tidak bertentangan dengan kedudukan Bahrain mengenai inisiatif perdamaian Arab dan keputusan legitimasi antarabangsa,” katanya.

Bahrain menjadi negara Arab keempat menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir mengambil langkah itu pada 1979, Jordan (1994) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) (2020).

Sementara itu, menurut pihak berkuasa Palestin, sebarang perjanjian dengan Israel mesti berdasarkan prinsip Inisiatif Damai Arab 2002, iaitu ‘tanah untuk perdamaian’ dan bukan ‘berdamai untuk perdamaian’ seperti yang dituntut oleh Israel.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut mendapat kecaman besar-besaran daripada rakyat Palestin yang menyatakan sebagai tidak membantu menangani isu Palestin dan mengabaikan hak mereka. – MalaysiaPost