RAKYAT Sabah akan menjadi tuan di negeri sendiri jika Parti Cinta Sabah (PCS) berjaya membentuk kerajaan, kata Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman.
Calon bagi kerusi DUN Bongawan itu berkata walapun PCS masih baharu tetapi parti itu mampu menarik perhatian anak Sabah untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Tinggal 12 hari saja lagi sebelum tiba masa untuk kita mengundi. Saya ingin berpesan kepada semua rakyat Sabah, sedarlah bahawa kita mampu menjadi tuan di negeri sendiri jika undi anda berpihak kepada PCS.
“Saya mengaku bahawa PCS ialah satu parti yang baharu, akan tetapi, saya yakin akan kemampuan PCS untuk meraih perhatian anak-anak Sabah supaya kita akhirnya boleh menjadi tuan menentukan sendiri masa depan negeri Sabah yang kita cintai ini.
“Saya tidak gentar tentang ‘janji-janji manis’ Perikatan Nasional (PN) dan Warisan Plus itu semua. Warga Sabah sudah sedar, dan mampu membuat undian yang bijak dan terbaik, terutamanya pada situasi sekarang yang agak sukar bagi semua rakyat Sabah,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berharap rakyat boleh memberi peluang kepada calon PCS yang hanya tahu satu perkara sahaja iaitu berjuang untuk kepentingan Sabah.
Pada PRN 26 September ini, PCS bertanding di semua 73 kerusi dengan sasaran untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi bagi membentuk kerajaan.
Parti itu diberi nafas baharu oleh Anifah selepas beliau dilantik sebagai presiden baharunya pada Julai lalu. – Malaysiapost

