Rumah terbakar, pekerja SADA rentung

0
1

SEORANG lelaki rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Malik, Alor Setar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Roslan Abu Bakar, 56, kakitangan Syarikat Air Darul Aman (SADA) ditemui rentung di depan pintu dalam rumah berkenaan.

Isteri mangsa berusia 52 tahun yang berkerusi roda akibat penyakit buah pinggang serta anak lelaki dan perempuan mereka, masing-masing berusia 17 tahun dan 15 tahun, sempat menyelamatkan diri.

Selain itu, dua kereta dan sebuah motosikal turut terbakar hampir 30 peratus.

Bapa saudara Roslan, Abd Rahman Bakar, 75, berkata dia dimaklumkan mangsa masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta dan cuba memadam api.

Namun, katanya, mangsa tidak sempat keluar dan terperangkap di pintu hadapan rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian seperti dilaporkan Harian Metro.

Abd Rahman berkata, dia tidak sedap hati terdengar siren bomba di hadapan rumahnya kerana bimbang berlaku kejadian besar, terutama kawasan Kota Setar masih dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

“Tidak lama kemudian isteri saya menangis memberitahu rumah Roslan terbakar namun tidak tahu nasib yang menimpa.

“Sebaik sampai di sini, saya dapat tahu arwah gagal diselamatkan dan meninggal dunia dalam kebakaran itu,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Alor Ibus, Kuala-Kedah-Yan selepas selesai urusan di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). – MalaysiaPost