KERAJAAN bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Cadangan itu dimaklumkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini yang bertujuan memupuk budaya sihat.
Menurutnya, selain itu kerajaan juga bercadang meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh.
Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian terhadap aspek kesihatan awam dan bagi tujuan itu Agenda Nasional Malaysia Sihat akan diteruskan.
“Aspek kesihatan awam juga akan diberi perhatian.
“Dalam memupuk budaya sihat serta menangani masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti, kerajaan bersetuju untuk meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga akan memantapkan pengurusan Klinikal Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia seperti lisosomal.
“Bagi memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam, kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulans,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun.
“Ini bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka.
“Sebagai tambahan, sukacita diumumkan kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan 100 juta ringgit untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian,” katanya. – Malaysiapost

