Bajet 2022: RM2,000, bantuan ‘one-off’ tertinggi

0
1

BAJET 2022 menyaksikan RM2,000 diberikan sebagai bantuan one-off tertinggi untuk isi rumah tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang dari RM2,500 sebulan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata pemberian di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.

“Selanjutnya, maklum balas lain yang diterima turut menyentuh soal cabaran yang perlu ditanggung oleh ibu tunggal dalam menyara anak-anaknya; warga emas B40 yang kekurangan simpanan persaraan dan tiada sumber pendapatan tetap.

“Sebagai pembaharuan untuk tahun hadapan, Kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga 5,000 ringgit,” ucapnya ketika membentangkan Belanjawan 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas.

“Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.

“Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR,” katanya.

Berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tengku Zafrul berkata, syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu 1,169 ringgit berbanding PGK 2016 iaitu 980 ringgit sebelum ini.

“Usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa.

“Oleh itu, dengan kenaikan ini, lebih ramai akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM dengan peruntukan tambahan 200 juta ringgit.

“Secara keseluruhan, RM2.4 bilion disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440 ribu isi rumah memerlukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here