Bajet 2022 babit peruntukan RM332.1 bilion

0
1

BAJET 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ adalah bajet yang paling tinggi pernah dibentangkan dalam sejarah negara.

Memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion atau 20.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bajet ini juga menyaksikan peningkatan sebanyak RM8.6 bilion berbanding Bajet 2021 iaitu RM 322.5 bilion.

Menurut Tengku Zafrul, daripada jumlah itu, sebanyak RM233.5 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan operasi, sejumlah RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Sementara, baki sebanyak RM23 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19. Dalam pada itu, sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.

“Bajet kali ini mendokong tiga paksi utama iaitumemperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

“Pertama; Rakyat Yang Sejahtera; Kedua: Perniagaan Yang Berdaya Tahan dan Ketiga Ekonomi Yang Makmur dan Mampan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Kedua Belas diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini.

Katanya, ia juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah Bajet yang inklusif, mampan dan seimbang.

“Mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, di samping jangkaan peningkatan hasil Kerajaan bagi tahun 2022 kepada 234 bilion ringgit, Kerajaan akan terus menyediakan bajet yang mengembang.

“Bajet 2022 akan menyediakan sejumlah 332.1 bilion ringgit – yang menyaksikan nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini,” katanya.

Katanya, sungguhpun ia merupakan bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021.

“Fokus pertama Bajet ini ialah Rakyat Yang Sejahtera. Bagi mendakap erat makna sejahtera, iltizam Keluarga Malaysia atas ilham Yang Amat Berhormat

“Perdana Menteri memasang impian, agar setiap daripada kita tersemai nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya.

Bajet 2022 adalah bajet pertama kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos lalu.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here