Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama pertahanan – Hishammuddin

0
2

MALAYSIA–Indonesia bersetuju meneruskan latihan bersama antara angkatan tentera negara masing-masing dalam usaha menangani ancaman pengganas melalui Latgabma Malindo Darsasa yang akan diadakan di negara ini, tahun depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata latihan bersama itu akan melibatkan kerjasama ketiga-tiga cabang perkhidmatan dari angkatan tentera serta pasukan polis kedua-dua negara.

Dalam pertemuan bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Tuan Yang Terutama (TYT) Prabowo Subianto hari ini, kedua negara berkongsi komitmen meningkatkan lagi kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia, terutamanya menerusi pengoperasian Pos-Pos Gabungan.

“Buat masa ini, operasi gabungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan TNI adalah di enam penempatan Pos Gabungan yang tertumpu di sempadan Sarawak-Kalimantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, menerusi pertemuan itu kedua negara sepakat untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan buat pertama kalinya satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang memfokuskan terhadap kerjasama pertahanan menyeluruh antara Malaysia-Indonesia bakal dilaksanakan dan ditandatangani awal tahun depan.

Dalam pada itu, berkaitan kawalan sempadan, Hishammuddin berkata Malaysia bakal menjadi tuan rumah GBC MALINDO ke-42 pada Februari 2022.

Katanya, kali terakhir mesyuarat itu diadakan ialah pada tahun 2018 disebabkan pandemik Covid-19 dan kedua-dua negara bersetuju untuk meneruskannya tahun hadapan.

“Mesyuarat ini penting bagi membincangkan usaha-usaha memperkukuh keselamatan sempadan antara kedua-dua negara. Justeru, tadi saya ambil kesempatan menyampaikan jemputan kepada Kerajaan Indonesia melalui TYT Prabowo.

“Jemputan Malaysia disambut baik dan pihak Indonesia telah menyuarakan kesediaan untuk hadir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here