AUKUS berpontensi gugat keamanan Asia Tenggara

0
1

MALAYSIA menyuarakan pendirian tegas bahawa pembentukkan Kerjasama Pertahanan Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom (AUKUS) melahirkan kegusaran kerana berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata AUKUS juga bakal memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

Perkara sama turut ditekankan Menteri Pertahanan Indonesia, Tuan Yang Terutama (TYT) Prabowo Subianto menerusi lawatan kerjanya ke Malaysia, hari ini.

“Sebagai negara ASEAN, Malaysia dan Indonesia harus bersama-sama memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Semua pihak harus hindari sebarang tindakan ketenteraan yang provokatif atau berpotensi tingkatkan ketegangan serta cetuskan konflik di Laut China Selatan.

“Sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian perlu ditangani, konsisten dan jelas menerusi dialog dan rundingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, dalam pertemuan itu, Malaysia-Indonesia bertekad untuk terus memelihara hubungan dua hala antara dua negara itu yang sedia akrab sejak sekian lama terutama dari sudut keselamatan.

Katanya, ia selari dengan salah satu teras utama Kementerian Pertahanan iaitu Diplomasi Pertahanan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada TYT Prabowo atas lawatan kerja ulung beliau ke Malaysia, yang dikendalikan berdasarkan tatacara-tatacara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang amat ketat seperti ditetapkan oleh Kerajaan Indonesia dan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here