[Parlimen] SEBANYAK 47 kes pemujaan salah yang bertentangan dengan Islam atau ajaran sesat dilaporkan sejak Januari 2020 hingga September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 33 kes ajaran sesat itu dilaporkan sepanjang tahun lalu, manakala 14 kes lagi dari Januari hingga September tahun ini.
“Justeru, beberapa langkah bagi mengatasi isu berkaitan penyelewengan akidah umat Islam telah dilakukan termasuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam aspek penyelidikan berkaitan ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Yang kedua, kita mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama dengan kumpulan-kumpulan yang terlibat,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai jumlah laporan berkenaan ajaran sesat sepanjang tahun 2020 sehingga suku ketiga tahun 2021 serta usaha berterusan yang telah dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penyebaran ajaran sesat tersebut.
Sehubungan itu, Idris berkata, kerajaan turut melaksanakan kajian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Ini termasuk kajian dari sudut kesan dan implikasi apabila sesuatu pandangan hukum mengenai ajaran sesat dikeluarkan.
“Jabatan Mufti di negeri mengeluarkan fatwa mengenai ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum oleh Muzakarah MKI dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa/Muzakarah Fatwa Negeri Negeri.
“Nasihat dan kaunseling agama turut diberi kepada mereka yang terlibat bagi memantau, mengembalikan akidah dan kehidupan mereka kepada kehidupan normal masyarakat, katanya.- Malaysiapost

