PRN Melaka: Gandingan 4 parti komponen petanda awal kejayaan BN – Zahid

0
1

“KALI ini orang Melaka ‘benau-benau’ kasi ‘gegau’ demi menebus kekhilafan lalu”

Demikian kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggambarkan semangat jentera Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saksikan betapa hebat aura penuh semangat menyinari segenap Majlis Pelancaran Jentera BN malam tadi.

“Alhamdulillah riak serta raut setiap yang hadir sarat dengan keazaman dan keyakinan membara menuju medan PRN Melaka,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, selepas mengharungi pelbagai onak dan duri kini BN bersama parti komponen bersepakat memadam apa jua perbezaan demi Melaka dan rakyatnya.

Katanya, ia suatu lagi gambaran petanda awal kesinambungan kejayaan berterusan BN mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

“Saksikan juga empat parti komponen BN sekali lagi bergandingan untuk PRN Melaka yang sangat penting sebelum PRU-15.

“Gandingan paling terbukti pernah menerajui negara dan negeri-negeri dalam Malaysia penuh saksama dan berwibawa.

“Maka kepada seluruh rakyat Melaka marilah bersama mengembalikan kerajaan BN demi kesejahteraan masa lalu,”katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan pengundi Melaka supaya tidak membiarkan diri ‘dipatuk’ dua kali dengan pembohongan pihak tertentu.

“Lupakan segala fitnah, penipuan dan pembohongan yang pernah memanipulasi. Janganlah diri dipatuk dua kali. Biarkan saja ‘ulau itu melingkau di atas pagau’,” katanya.

BN mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Pelancaran jentera PRN BN diadakan di Kuala Lumpur berikutan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM melarang sebarang perhimpunan awam atau majlis sosial berkaitan pilihan raya di Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here