MUDA bertanding PRN Melaka

0
2

PARTI Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA), mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 8 hingga 20 November ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya ketika ini sedang mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung perkara itu.

“Pertama sekali saya ingin menjelaskan kenapa MUDA ingin memainkan peranan dalam membentuk politik di Melaka. Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita cetuskan budaya politik yang baharu, yang berintegriti dan bermaruah.

“Perlu kita hantar mesej yang jelas melalui PRN Melaka ini, bahawa politik ‘katak melompat’, politik tidak berintegriti, tidak bermaruah harus ditolak secara jelas,” katanya dalam sidang media di Melaka, hari ini.

Menurutnya, Muda telah buat pendirian tetap untuk bertanding dalam PRN dan akan berunding dengan parti pembangkang serta mengumumkannya secara bersama selepas tempoh rundingan tamat.

Beliau berkata, antara perkara yang dirundingkan adalah berkaitan logo yang akan digunakan MUDA dalam PRN Melaka itu kelak.

“Rundingan (bersama PH) telah bermula beberapa kali dan akan kita umumkan secara bersama.

“Saya difahamkan PH juga sedang bincangkan logo apa yang bersesuaian dalam pertandingan (PRN) ini,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai calon yang akan bertanding dalam pilihan raya itu, Syed Saddiq berkata, calon yang akan diketengahkan perlu mempunyai rekod cemerlang dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Calon yang dinamik, berpengalaman dan jelas ada rekod berkhidmat contoh Ketua MUDA Melaka, yang telah gerakan pelbagai aktiviti membantu dan membela golongan susah di Melaka.

“Mereka yang sebelum ini tidak pernah sertai landskap politik, tetapi ada hati berkhidmat tanpa jawatan dan pangkat, ini adalah masa mereka menyerahkan diri berkhidmat untuk mengubah Melaka, mengubah Malaysia,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here