SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Pengurus Kanan Goldman Sachs, Tim Leissner membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini.
Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu berhubung aduan dibuat Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.
“SPRM mengesahkan telah menerima aduan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak terhadap Pengurus Kanan Goldman Sachs, Tim Leissner berhubung isu 1MDB, hari ini.
“SPRM akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu aduan tersebut meliputi semua aspek sebelum sebarang tindakan lanjut dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu Najib dalam satu hantaran di laman Facebooknya, memaklumkan dia dinasihatkan dan terpanggil untuk membuat laporan SPRM hari ini terhadap Tim Leissner.
Menurutnya, ia bertujuan supaya pihak berkuasa Malaysia boleh menyoal, membawa balik Tim Leissner atau meminta senarai nama dari Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) untuk didedahkan secara umum dan tindakan sewajarnya diambil.
“Pada 2020, Tim Leissner telah mengaku salah di mahkamah bahawa beliau pernah menyogok beberapa individu dari syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia yang nama-namanya tidak didedah secara umum.
“Pada awal tahun ini, peguam saya berjaya memenangi kes di AS untuk mendapat senarai nama dalam pengakuran Tim Leissner yang telah disogok beliau.
“Namun, kerajaan Amerika Syarikat melalui DOJ telah membantah keputusan mahkamah Amerika Syarikat dan telah menghalang nama-nama tersebut didedahkan,” katanya.
Najib berkata, seorang peguam dari syarikat guaman terkenal Brahman and Associates yang mewakili Pengurus Kanan Goldman Sachs, Roger Ng pernah mengeluarkan kenyataan bahawa senarai nama tersebut adalah bukti ‘exculpatory’ yang boleh membersihkan namanya dalam kes 1MDB.
“Saya amat pelik kenapa kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan seolah-olah tidak ingin mengetahui dan mengambil tindakan terhadap nama-nama pegawai 1MDB dan kerajaan yang telah disogok Tim Leissner,” katanya. – Malaysiapost

