SEORANG wanita diburu polis selepas meloloskan diri di Mahkamah Raub, Pahang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata wanita itu dipercayai lari bersama teman lelakinya dengan motosikal.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, anggota polis wanita bertugas mengiringi 12 orang kena tahan (OKT) menaiki lori untuk dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
“Tiba-tiba motosikal hitam ditunggang lelaki Melayu berhenti di belakang anggota polis dan OKT wanita terus membonceng meninggalkan pekarangan mahkamah.
“Anggota polis mengejar motosikal tetapi terlepas dan terjatuh sehingga cedera di tapak tangan.
“OKT wanita melarikan diri dalam keadaan kedua-dua tangannya bergari,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Kama Azural berkata, OKT wanita itu dituduh mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mempunyai empat sabitan kes lampau akta sama.
“Wanita berusia 23 tahun itu berasal dari Kampung Ulu Lepar Dong, Raub itu mengaku tidak bersalah dan sebutan semula kes pada 29 September depan.
“Teman lelaki wanita itu yang berasal Kampung Pulau Kabong Budu, Benta, Lipis,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kedua-dua suspek diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan. -Malaysiapost

