Covid-19: Kematian di Eropah akan meningkat pada musim luruh

0
2

[Dunia] PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran, kematian akibat Covid-19 di Eropah akan meningkat pada musim luruh ini.

Ia susulan angka jangkitan di seluruh dunia mencatat rekod lonjakan yang membimbangkan.

Berita Harian yang memetik AFP melaporkan, Israel yang turut bergelut dengan peningkatan kes wabak itu, mengumumkan perintah berkurung selama tiga minggu bermula Jumaat lalu di mana penduduk tidak dibenarkan berada melebihi 500 meter dari rumah mereka.

WHO melaporkan 307,930 kes baharu di seluruh dunia, kelmarin, iaitu angka harian tertinggi sejak wabak itu tercetus di China pada akhir tahun lalu, sekali gus menjadikan jumlah jangkitan kini mencecah 29 juta dengan pantas.

“Keadaan akan menjadi semakin sukar. Pada Oktober, November, kita bakal melihat lebih banyak kematian.

“COVID-19 menyerlahkan kelemahan dan kekuatan masyarakat Eropah. Ia telah mendedahkan hakikat sistem kesihatan kita,” kata Pengarah Eropah WHO, Hans Kluge.

Kluge menjelaskan, pandemik itu juga menjejaskan perkhidmatan untuk penyakit tidak berjangkit, termasuk pemantauan terhadap pemeriksaan diabetes, darah tinggi dan barah di 68 peratus daripada negara anggota.

53 negara anggota WHO di Eropah memulakan mesyuarat dua hari secara dalam talian, semalam, dengan memfokus kepada tindak balas mereka terhadap virus itu yang kini meragut lebih 925,000 nyawa di seluruh dunia.

“Kita sama sekali belum keluar daripada bahaya,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada mesyuarat itu melalui pautan video. -Malaysiapost