Penubuhan pasukan cegah jenayah alam sekitar tindakan tepat

0
2

PERSATUAN Wira Air (Perwira) menyifatkan tindakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) menubuhkan pasukan elit bagi mencegah jenayah alam sekitar adalah tindakan tepat.

Pengerusi Perwira, Muhammad Dhiyauddin Saharudin, berkata pihaknya menyokong penuh tindakan proaktif Kasa menubuhkan pasukan petugas khas itu bagi membanteras jenayah alam sekitar yang semakin meruncing.

Dhiyauddin berkata, penubuhan pasukan elit yang melibatkan beberapa agensi penguatkuasa itu, membuktikan komitmen sebuah kerajaan yang prihatin menangani jenayah alam sekitar.

“Baru-baru ini, 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang membabitkan 1.2 juta pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air di Sungai Gong.

“Ini adalah kejadian kelima pencemaran sungai berlaku sepanjang tahun 2020 di Selangor dan pengguna mahukan tindakan diambil.

“Sudah acapkali negara kita dikejutkan dengan aktiviti pencemaran alam sekitar ini sehingga menyebabkan loji rawatan air (LRA) ditutup. Namun, akhirnya perlaku tidak dikenakan sebarang tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, fasa sekarang adalah usaha membanteras jenayah alam sekitar yang banyak mencemarkan kesuburan bumi dan menjejaskan kebajikan rakyat setempat.

“Oleh itu, usahasama dan gerak kerja yang dicadangkan diperlukan untuk memulihkan dan memelihara kelestarian air khazanah negara

“Malah, jenayah alam sekitar di peringkat global merupakan jenayah terancang yang keempat terbesar selepas dadah, pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia iaitu mencecah sehingga AS$258 bilion pada 2016,” katanya.

Semalam, Kasa mengumumkan penubuhan pasukan elit bagi mencegah jenayah alam sekitar berikutan beberapa isu dan kerumitan ketika menjalankan operasi.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pasukan yang turut dianggotai oleh unit penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Biokeselamatan (JBK) dan polis akan menangani isu pencemaran secara proaktif dan holistik. -Malaysiapost