Pemuda Umno mahu kerajaan perluas data penerima BKP

0
3

PEMUDA Umno akan membawa suara rakyat meminta kerajaan memperluaskan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) kepada individu terjejas akibat pendemik bermula tahun 2020.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya menerima banyak aduan tidak layak menerima BKP berikutan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diambil dari tahun ini sahaja.

“Ramai mengadu tak layak menerima BKP kerana data hanya berpandukan KWSP dan Perkeso tahun 2021 sedangkan ramai yang hilang sumber pendapatan sejak pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun 2020 lagi.

“Ramai juga yang tidak mencarum di KWSP mahupun PERKESO kerana kerja sendiri, namun turut terjejas akibat PKP yang membataskan pergerakan.

“Pemuda Umno akan membawa suara rakyat kepada kerajaan agar diperluaskan BKP RM500 ini kepada mereka yang terjejas sejak 2020 lagi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hampir 870,000 individu yang telah hilang pendapatan pada 2021 akan menerima BKP sebanyak RM500 yang akan diberikan secara ‘one-off’ mulai hari ini.

Katanya, BKP itu diberikan kepada pekerja yang kehilangan sumber pendapatan berdasarkan data KWSP atau Perkeso dalam tahun 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here