[PARLIMEN] TIADA pilih kasih dalam memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Itu jaminan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai kebimbangan pelaksanaan ‘double standard’ terhadap anggota Jemaah Menteri yang turun berkempen atas nama program kerajaan pada PRN itu nanti.
Beliau mengakui perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
“Saya akan bangkit perkara ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang. Saya akan meminta menteri jangan menyalahgunakan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan dilaksanakan SPR, nanti.
“Kita tidak mengamalkan pilih kasih atau ‘double standard’, saya berharap setiap pihak (beri kerjasama), saya bercakap bagi pihak MKN, KKM dan SPR.
“Ada dua pihak di sini, satu SPR mahu proses demokrasi berjalan iaitu membenarkan kesemuanya berpandukan apa ditetapkan MKN dan KKM. Kalau undang-undang dilaksanakan satu pihak, mesti dilaksanakan pihak lain,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai jaminan kerajaan bahawa majlis rasmi kerajaan tidak dianjurkan menteri Kabinet untuk kempen PRN Melaka.
Ahad lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Beliau menegaskan ia bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes dengan mendadak.
Larangan tersebut berkuatkuasa bermula 25 hingga 27 November 2021. – Malaysiapost

