Fitri Nizam
ADAKAH Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menganggap tuntutan Filipina ke atas Sabah berasas, soal Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Persoalan berkenaan dikemukakan pemimpin itu berikutan cadangan Mohd Shafie supaya kerajaan Malaysia berunding dengan kerajaan Filipina berkaitan tuntutan terhadap negeri terbabit.
Justeru, Hishammuddin meluahkan rasa kecewa terhadap cadangan berkenaan.
“Sebelum ini saya telah tegaskan banyak kali, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan dan Sabah milik Malaysia buat selama-lamanya.

“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan Malaysia berunding dengan kerajaan Filipina,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Beliau berkata, tuntutan Filipina terhadap Sabah bukan sahaja tidak berasas malah langsung tidak relevan.
“Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut. Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka.
“Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas. Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?,” soalnya.
Menurutnya lagi, sebagai pemimpin, Shafie sepatutnya lebih tegas, bukannya cuba beri muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.
“Pendirian kerajaan Malaysia tetap kukuh – tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah!,” katanya. -Malaysiapost

