Manifesto: BN akan umum tawaran baharu buat rakyat Sabah

0
1

BARISAN Nasional (BN) dijangka mengumumkan beberapa tawaran baharu kepada rakyat Sabah ketika pelancaran manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) parti itu, esok.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran baharu itu bukan hanya membabitkan soal pembangunan, pendidikan dan ekonomi bahkan beberapa perkara lain yang akan memberi manfaat kepada rakyat negeri berkenaan.

“Secara asasnya ianya menjurus ke arah bukan hanya mengembalikan kepentingan rakyat Sabah sebagaimana yang tercatat dalam perjanjian MA63 tetapi ada perkara baharu yang pada hemat saya menjadi satu harapan baru kepada rakyat Sabah.

“InshaAllah tawaran baharu ini
sebagaimana yang telah saya nyatakan untuk kita tawarkan jika sekiranya BN bersama rakan-rakan kongsi yang lain dapat membentuk semula kerajaan di negeri Sabah,” katanya ketika ditemui media pada kempen Radu Kukusan Tanjung Batu, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung BN merangkap Koordinator BN PRN Sabah, Tan Sri Anuar Musa, calon tunggal pergerakan Wanita Umno yang bertanding DUN Kukusan, Chaya Sulaiman, dan calon Tanjung Batu, Andi Muhammad Surayadi Bandi.

Mengulas mengenai pemilihan calon tunggal wanita pada PRN kali ini, beliau menjelaskan pemilihan calon telah pun diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi negeri selari dengan faktor autonomi BN Sabah.

“Sudah tentu kekecewaan itu saya dapat rasakan. Bagaimanapun, ada beberapa jawatan lantikan yang akan kita berikan kepada tokoh-tokoh negeri Sabah jika kita dapat memenangi kerusi-kerusi yang kita tandingi.

“InsyaAllah lantikan itu juga turut memberikan tempat untuk tokoh-tokoh Umno Sabah termasuk dari parti PAS.

“Kita akan berunding dengan rakan-rakan di dalam PN untuk memberi tempat kepada rakan-rakan yang lain di dalam parti gabungan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyelar dakwaan pihak tertentu yang mempertikaikan status pendaftaran PN yang disifatkannya sebagai kurang celik.

“Saya fikir, orang yang membuat dakwaan itu seharusnya mengetahui bahawa Setiausaha Agung PN adalah Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) juga dibawah Kementerian Dalam Negeri.

“Sepatutnya orang yang mempertikaikan itu tahu bahawa perkara itu telah dilakukan.

“Walaupun UMNO dan BN bukan sebahagian daripada PN sebagai sebuah parti gabungan, tetapi atas nama kerajaan kita memberi dokongan kepada kerajaan PN,” katanya. -Malaysiapost