PRN Melaka: PN tanding semua 28 kerusi – Muhyiddin

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) akan bertanding semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua parti komponen gabungan itu akan menyegerakan rundingan bagi pembahagian kerusi.

Ia sekali gus, kata beliau, bakal menyaksikan Bersatu, PAS dan Gerakan akan bertanding di bawah satu lambang, seterusnya sedia berdepan saingan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) ditunjangi Umno serta Pakatan Harapan (PH).

“Saya dah agak perkara itu (Umno tolak kerjasama). Saya dah baca kenyataan-kenyataan sebelum ini dan keputusan Umno dalam Perhimpunan Agung, tapi sebagai tindakan berhemah di peringkat awal kita nak melihat. Jadi, sudah sah mereka kata memang tidak, ‘no way’ nak bekerjasama dan itu fakta.

“Maka, seperti saya maklum semalam di Melaka, kita sedia menghadapi apa saja bentuk pertandingan sama ada secara tiga penjuru, empat penjuru atau dua penjuru, itu tidak menjadi masalah bagi kita.

“Itu sebab semalam saya gesa supaya kita segerakan rundingan kerusi antara parti-parti dalam PN iaitu jika di Semenanjung, Bersatu, PAS dan Gerakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, cadangan rundingan segera bagi pemilihan calon di 28 kerusi DUN telah dipersetujui semua parti dalam PN supaya perancangan berjalan lancar.

“Ini perlu disegerakan, saya sudah beritahu kepada pimpinan parti-parti dan mereka pada dasar bersetuju rundingan segera 28 kerusi DUN dapat dibahagikan mengikut situasi dan keadaan, sekali gus berharap boleh mencapai kejayaan.

“Saya fikir besar kemungkinan kita bertanding semua kerusi dibahagi antara parti-parti yang saya sebutkan tadi. Calon juga tiada masalah kerana kita banyak tokoh yang saya fikir layak dan boleh memimpin serta menjadi Adun yang baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here