KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan 38 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di seluruh Wilayah Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keseluruhannya sejumlah RM1.7 bilion diperuntukkan bagi projek tersebut bagi tahun ini.
“Keseluruhan negeri Sarawak, projek yang sedang dijalankan sebanyak 38 projek bekalan air seperti di Serian ini dan kos keseluruhan projek yang sedang dijalankan itu RM1.7 bilion.
“Jadi, ini adalah sebahagian tanggungjawab kementerian berkaitan dengan prasarana untuk rakyat khususnya di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Tangki Air Aras Tinggi dan Simbolik Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Mentong Merau/Mongkos, Sarawak hari ini.
Beliau berkata, KPLB akan terus membuat penyambungan projek Bekalan Air Luar Bandar itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah berjalan mulai tahun ini sehingga tahun 2025.
“Perdana Menteri telah mengumumkan RMK-12 tiga minggu lalu di Dewan Rakyat dan kita mengambil kutipan dari bajet itu untuk 2021 hingga 2025 dan Insha-Allah minggu hadapan ada pengumuman bajet dan kita akan tahu lebih kurang perbelanjaan yang akan digunakan untuk tahun 2022,” katanya.
Mengulas mengenai projek bekalan air di Kampung Mentong Merau/Mongkos itu, Mahdzir berkata, projek tersebut bermula sejak 2017 melibatkan kos RM112 juta.
Katanya, ia akan memberi manfaat kepada 14,385 penduduk di kawasan berkenaan.
“Pembinaannya melibatkan kerja saluran paip sepanjang 165 kilometer, pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti 1 juta liter di Kampung Senggai Mawang dan 2.5 juta liter di Kampung Muara Ahi.
“Projek turut melibatkan pemasangan paip ke rumah-rumah dan pembinaan stesen pam penggalak,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan boleh menampung kira-kira 5,000 rumah penduduk.
“Pembikinan paip rumah sedang disusun dan kalau semuanya berjalan, hujung tahun ini penduduk dapat menggunakan air bersih,” katanya. – Malaysiapost

