TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan FTX Eksesais PARADISE 8/21 bermula pada 22 Oktober hingga 2 November ini.
TUDM dalam kenyataan berkata, eksesais ini akan melibatkan beberapa pangkalan udara di Semenanjung Malaysia.
“Sepanjang eksesais (Paradrop, Air Defence, Deep Strike, Insertion, Combat Search & Rescue and Extraction) dijalankan, pesawat-pesawat ini akan melaksanakan penerbangan rendah pada waktu siang dan malam di beberapa kawasan sekitar ruang udara Semenanjung Malaysia yang telah diwartakan untuk lokasi eksesais,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, menurut TUDM, orang ramai dinasihat agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah sepanjang tempoh eksesais.
“Latihan ini diadakan bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

