TEMPOH reman terhadap bomoh dikenali ‘Ayah Su’ disambung lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung dakwaan kes rogol membabitkan bakal pengantin wanita, minggu lalu.
Perintah reman disambung sehingga Selasa depan itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Kota Bharu, Muhammad Fitri Mokhtar terhadap lelaki berusia 67 tahun terbabit, bagi siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, lanjutan reman itu bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.
Katanya, sebaik siasatan selesai kes akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya.
“Suspek sebelum ini sudah direman tujuh hari dan disambung lima hari lagi untuk siasatan bermula hari ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sebelum ini, media melaporkan, niat bakal pengantin untuk berubat selepas dikatakan mengalami gangguan makhluk halus, berakhir tragedi apabila mendakwa dirogol bomoh dikenali sebagai ‘Ayah Su’ di sebuah rumah di Kampung Tendong, Khamis minggu lalu
Mangsa berusia 23 tahun bersama bakal suami dan ibunya ke rumah lelaki itu untuk mendapatkan rawatan.
Lelaki terbabit kemudian meminta wanita berkenaan masuk ke bilik rawatan dengan diiringi isteri suspek dikenali panggilan ‘Mak Su’.
Mangsa kemudian diminta menanggalkan seluar dan sesi ‘rawatan’ dimulakan apabila hanya tinggal mereka berdua di dalam bilik itu.
Sesi ‘rawatan’ selama setengah jam itu berakhir dengan kejadian rogol dan suspek meminta wanita itu datang sekali lagi untuk menerima rawatan susulan.
Lelaki itu juga memberi amaran agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu tetapi mangsa menceritakan kepada bakal suaminya serta keluarga sebelum tampil membuat laporan polis. – Malaysiapost

