JAWATANKUASA Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju agar kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa ketika ini turut diperluas kepada remaja yang telah divaksin lengkap.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bermakna, syarat vaksinasi
lengkap bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun akan dinyatakan dalam semua prosedur operasi standard (SOP).
“Bagaimanapun, ia tidak akan dilaksanakan serta-merta. Kerajaan akan selaraskan kemudahan-kemudahan berkaitan dan memberi golongan remaja ‘grace period’ selama tiga minggu atau sehingga pertengahan November.
“Tempoh ini adalah bagi memastikan kira-kira 80 peratus remaja yang telah menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata setakat semalam, kadar vaksinasi dos pertama bagi golongan remaja telah mencapai 80.2 peratus atau bersamaan 2,524,156 individu.
“Kadar ini merupakan antara yang terpantas di dunia,” katanya.
Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah bermula secara rasmi pada 20 September lalu. – Malaysiapost

