PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menerima pelantikannya mengetuai jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai sebagai suatu tanggungjawab dan amanah.
Adly berkata, sebagai Pengerusi PH Melaka, itu memang tanggungjawab beliau dalam mengetuai jentera PRN negeri itu.
Justeru, katanya, ia juga amanah yang perlu beliau jalankan demi memastikan jentera PH bersedia sepenuhnya menghadapi PRN.
“Sebenarnya itu menjadi tanggungjawab saya sebagai Pengerusi PH (Melaka) kerana sebelum ini pun memang ia sebagai satu tanggungjawab.
“Bila disebut apa pun keadaan untuk saya mengetuai jentera pilihan raya PH di peringkat negeri, jadi saya ambil itu sebagai satu amanah yang diberikan PH kepada saya sendiri,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai dirinya dicalon memegang jawatan Ketua Menteri Melaka sekira PH memenangi PRN, beliau berkata, fokus utama kini adalah PH harus membina kesepakatan bagi menghadapi PRN.
Maka, katanya, siapa yang menjadi calon Ketua Menteri itu menjadi perkara kedua buat dirinya.
“Jadi, tugas Ketua Menteri Melaka itu merupakan perkara kedua. Benda paling asas adalah kita mahu pastikan bahawa kita mempunyai muafakat dan akhirnya boleh memenangi pilihan raya ini,” katanya.
Terdahulu, beliau mewakili PH memfailkan kes pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Baru-baru ini, DAP Kebangsaan dan Negeri Melaka menyokong Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri jika diberi mandat sekali lagi dalam PRN November ini.`
Semalam Majlis Presiden PH bersetuju melantik bekas Ketua Menteri Melaka itu bagi mengetuai jentera pilihan raya PH Melaka bagi menghadapi PRN. – Malaysiapost

