PAKATAN Harapan (PH) memfailkan kes berhubung isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari yang mengetuai proses berkenaan, berkata pihaknya memfailkan saman berhubung perkara itu kira-kira jam 3 petang tadi.
“Maka saya mewakili Pakatan Harapan (PH) Melaka melalui firman guaman Gan Ho dan Razlan Hadri telah memfailkan saman pada pihak berkenaan untuk menilai fakta, prosedur dan proses pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka yang ke-14.
“Tindakan ini diambil atas prinsip serta semangat bagi memastikan perlembagaan dan keluhuran undang-undang negara terus dihormati,” katanya kepada media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, peguam plaintif, Razlan Hadri berkata, pihaknya meminta mahkamah menyemak semula tindakan pembubaran DUN Melaka sama ada ia mengikut lunas-lunas Perlembagaan negeri itu.
“Secara asasnya apa yang difailkan di mahkamah, adalah kita ingin memeriksa semula apakah tindakan-tindakan yang telah diambil terutamanya Ketua Menteri Melaka, Sulaiman ketika itu dan Gabenor telah menuruti lunas-lunas Perlembagaan negeri Melaka.
“Kami rasalah, mungkin terdapat sedikit kekhilafan tindakan di situ dan kita nak tengok pendapat mahkamah terhadap isu-isu ini.
“Secara ringkasnya kita failkan isu ini supaya mahkamah dapat menyemak semula tindakan yang telah dibuat pada 4 dan 5 Oktober itu,” katanya.
Pembubaran DUN Melaka berlaku pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka menarik kembali sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.
Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (Adun Suingai Udang) Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November depan sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November. – Malaysiapost

