PKR cabar PM buktikan status pendaftaran PN

0
2

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuktikan status pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Ia susulan kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Syed Badlishah Syed Osman mendakwa tiada maklumat pendaftaran PN di dalam rekod di laman sesawang Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Iskandar Mohd Akin berkata, beliau mencabar Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran PN yang dikeluarkan secara rasmi oleh ROS kepada umum.

“Seandainya PN masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon-calon yang bertanding di bawah tiket PN,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pilihan raya adalah platform penting buat rakyat untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara.

“Mereka berhak untuk memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri.

“Sekiranya calon-calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan untuk bertanding, ini merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat khususnya warga Sabah,” katanya. – Malaysiapost