Muhammad Mustakim Ramli
PENGETUA Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood, mendoakan supaya remaja yang didapati bersalah membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu tiga tahun lalu, diberi kebaikan di dunia dan akhirat.
Beliau juga berharap keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, mendatangkan kebaikan kepada remaja itu.
“Bukan dengan dijatuhkan hukuman itu mendatangkan keburukan kepada beliau. Pengharapan kita mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat kepadanya,” katanya ketika ditemui Malaysia Post baru-baru ini.

Hari ini genap tiga tahun tragedi pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat itu akibat perbuatan khianat sehingga mengorbankan 23 penghuninya.
Mohd Zahid mengakui, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu itu melegakannya.
Mengimbas tragedi itu, Mohd Zahid berkata, beliau tidak dapat tidur lena selepas kejadian itu kerana perlu berdepan pelbagai ujian.
“Sekejap polis cari saya nak ambil keterangan, selepas itu kena ‘melayan’ tohmahan orang ramai.
“Ada yang salahkan pengurusan tahfiz menjadi punca terjadinya kebakaran itu, saya tidak mendapat rehat secukupnya sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.
Beliau seterusnya bersyukur bagi pihak pusat tahfiz tersebut dan menerima keputusan mahkamah dengan hati tenang serta terbuka.
“Insiden itu adalah ujian yang amat besar kepada kami. Siapa mahu perkara sebegini berlaku, cedera sikit pun kita tidak mahu apatah lagi insiden kebakaran mengorbankan 23 orang. Ia sudah diputuskan dan ketentuan Allah,” katanya. – Malaysiapost

