
Nurul Huda Abhar
SERAMAI 763 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 746 individu dikompaun manakala 17 lagi direman kerana ingkar arahan.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang tertinggi adalah aktiviti-aktiviti dalam pub dan kelab malam sebanyak 608 kes dan tiada penjarakan fizikal 63 kes.
“Selain itu, tidak memakai pelitup muka (22), parti persendirian (27), ingkar perintah PKPD (12), disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian (12), perjudian sabung ayam (10).
“Kesalahan lain, gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk (6), premis beroperasi lebih masa dan premis beroperasi tanpa lesen masing-masing satu kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ismail, sebanyak 15,592 pemantauan dilakukan termasuk pasar raya, restoran, penjaja, kilang, bank dan pejabat kerajaan.
Katanya, tempat lain yang dipantau adalah 1,094 terminal pengangkutan darat, 203 terminal pengangkutan air serta 135 terminal pengangkutan udara.
Pada masa yang sama, beliau juga memaklumkan sebanyak 18 tangkapan dilakukan dalam ‘Operasi Benteng’ melibatkan 71 pendatang asing tanpa izin (PATI), 3 tekong dan 1 penyeludup
“Daripada jumlah itu, di Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor, pasukan ATM berjaya menahan 10 PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya. -Malaysiapost
