PERTUBUHAN Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (PEKEMAS) hari ini, membuat laporan polis berhubung pelancaran ‘wiski’ buatan Malaysia jenama Timah yang tular di laman Facebook baru-baru ini.
Presidennya, Faizan Mohd Nor, berkata laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Katanya, PEKEMAS juga menggesa pihak polis membuka kertas siasatan mengenai bagaimana pelancaran arak berkenaan dibenarkan sehingga mengundang pelbagai konflik menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

“Kami meminta satu kertas siasatan dibuka dengan memanggil pihak-pihak terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung.
“Gilbert Yeo dan Kenny Yeo pengarah syarikat Winnepeng Corporation, kementerian yang berkaitan KPDNHEP yang memberi kelulusan dan penggunaan nama Timah yang begitu mengelirukan.
“Isu penggunaan nama Timah seakan-akan menghina Islam dan pelancarannya hampir tepat dengan sambutan Maulidur Rasul pada bulan Oktober 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 7 Oktober lalu, jenama arak buatan Malaysia merupakan wiski pemenang anugerah terbaik dari Malaysia akhirnya dilancarkan secara rasmi.
Acara ini dirasmikan oleh Gilbert Yeo dan Kenny Yeo, pengarah Winepak Corporation, firma di belakang Timah. Anggota media juga menghadiri acara pelancaran maya.
Acara yang bermula pada jam 5.30 petang itu disiarkan secara langsung di Facebook.
Hadirin menyaksikan latar belakang sejarah produksi dan perjalanan Timah yang kuat, bersama dengan persiapan koktel langsung oleh Youtuber Whisky Folks . – Malaysiapost

