SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menganggarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan bermula 8 November ini memerlukan peruntukan sebanyak RM46 juta.
Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan, seramai 12,290 petugas akan dilantik dengan membabitkan sebanyak 28 Pusat Penamaan Calon dan 28 Pusat Perjumlahan Rasmi Undi.
Menurutnya, sebanyak 217 pusat mengundi biasa mengandungi 1,109 tempat mengundi atau saluran disediakan, manakala bagi undi awal pula sebanyak 31 pusat mengundi yang mengandungi 47 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan pusat mengundi bagi PRN Melaka adalah 248 pusat dengan 1,156 tempat mengundi/saluran.
“Semua pusat mengundi biasa pada hari mengundi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang, manakala pusat undi awal dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang bagi 21 pusat mengundi dan baki 10 lagi dari 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.
Abdul Ghani berkata, SPR juga akan meneruskan penambahbaikan dalam beberapa perkara iaitu antaranya menyediakan saluran khusus untuk pengundi berusia 60 tahun ke atas.
“Perkara lain adalah memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit sehingga 5.30 petang berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu hanya sehingga 5 petang.
“Pengundi-pengundi orang kurang upaya (OKU) akan mengundi di Saluran 1 dan seramai 12,712 pengundi OKI telah dikenal pasti serta berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beliau turut menasihatkan baka-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRN Melaka supaya mengisi dan membuat semakan awal borang pencalonan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hari Penamaan calon.
“Bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
“Bagaimanapun diingatkan borang penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak perlu dikemukan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya di pusat penamaan calon yang telah ditetapkan pada hari penamaan,” katanya. – Malaysiapost

