PRN Melaka: Idris Haron belum putuskan kerusi bakal ditandingi

0
1

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron belum membuat keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu, berkata beliau sedang mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan muktamad sama ada mempertahankan kerusi Sungai Udang atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau berkata, yang pasti tidak akan bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) kerana sudah dipecat daripada menjadi ahli Umno.

“Saya belum pasti lagi (kerusi yang akan ditandingi) tetapi yang pasti ialah saya tidak akan bertanding di bawah logo BN kerana saya sudah kena buang daripada parti.

“Walau apa pun yang terjadi, lawan tetap lawan dan insya-Allah pengundi di negeri ini bijak membuat pilihan siapa yang akan menjadi pemimpin mereka,” katanya seperti dilapor portal Melaka Hari Ini.

Ditanya mengenai parti yang mungkin akan diwakilinya, beliau enggan menjelaskannya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

“Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here