Kertas Pandora: SPRM akan panggil Anwar dalam masa terdekat

0
2
anwar ibrahim

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahan beliau mengenai Kertas Pandora yang melibatkan beberapa figura terkemuka, dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menjelaskan, beliau telah meminta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya untuk mengarahkan pegawainya untuk berjumpa Ahli Parlimen Port Dickson itu bagi merekodkan keterangan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan sama ada untuk membuka atau sebaliknya kertas siasatan adalah bergantung kepada hasil perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi-agensi yang terlibat.

“Sama ada kita buka atau tidak kertas siasatan, kita kena bincang dengan pihak Bank Negara Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan.

“Beri sedikit masa untuk kita buat ‘appointment’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya seperti dilaporkan AstroAwani.

Sebelum ini, Anwar mendakwa bersedia untuk memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung siasatan terhadap pendedahan Kertas Pandora yang dibuatnya di Parlimen sejak 2012.

Kertas Pandora adalah laporan berhubung ratusan pemimpin dunia termasuk ahli politik didakwa menyembunyikan wang dan pelaburan mereka seperti hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lepas.

Pendedahan terbabit turut melibatkan 11.9 juta fail dari syarikat-syarikat yang diupah pelanggan kaya bagi mewujudkan struktur perniagaan dan amanah di kawasan pesisir pantai.

Antaranya di Panama, Dubai, Monaco, Switzerland dan Kepulauan Cyaman, Kepulauan Virgin British, Belize, Cyprus, Singapura, Switzerland dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beberapa nama ahli politik dan ahli perniagaan Malaysia turut disebut dalam Pandora Papers itu antaranya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here