Debat: ‘Jangan nak tunjuk garang’ – Guan Eng tegur Ka Siong

0
1

AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hari ini menempelak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kerana didakwa tidak cakna tentang dunia digital.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, Presiden MCA itu tidak dapat membezakan ‘poster meme’ media sosial yang dianggapnya sebagai tangkap layar WhatsApp sebenar, serta cuba mengalih perhatian dengan mengadu domba kononnya beliau difitnah.

“Adakah Ka Siong faham apa maksud meme? Biar saya bantu terangkan dengan cara mudah supaya dia senang faham: meme ialah poster atau video lucu yang selalunya digunakan untuk mencuit hati tentang sesuatu isu atau topik dan disebar melalui Internet.

“Dah lah designer letak label “Mobile Meme” kat situ, Wee Ka Siong pula cari peluang mengalih perhatian dengan dakwaan palsu kononnya saya memfitnahnya,” katanya menerusi Facebook.

Jumaat lalu, Guan Eng dalam hantaran Facebook mendakwa tidak menerima maklum balas daripada pejabat Ka Siong untuk membincangkan cabaran debat berkenaan dasar kabotaj yang menyebabkan pemasangan kabel dasar laut Apricot sepanjang 12,000 kilometer tidak membabitkan negara ini.

Guan Eng turut memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp Debat Dasar Kabotaj kononnya dianggotai beliau, Ka Siong dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi membincangkan cabaran debat.

Semakan mendapati tangkap layar itu adalah hasut maya (troll) berdasarkan tulisan ‘Mobile Meme’ di penjuru atas kiri tangkap layar itu.

Susulan itu, Ka Siong membidas Guan Eng kerana mendakwa Setiausaha Agung DAP itu mereka cerita kononnya beliau telah wujudkan satu kumpulan WhatsApp membabitkan dirinya Guan Eng dan Speaker Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Guan Eng meminta Ka Siong supaya berhenti ‘menunjuk garang’ dengan mencabarnya berdebat berhubung isu dasar Kabotaj.

“Bila dah cabar, jangan pula bagi banyak alasan, mengadu domba dan cuba mengalih perhatian. Jangan pula buat serangan peribadi.

“Daripada buang masa begini, mengapa tidak minta wakilnya menghubungi wakil saya, YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai) untuk bincang logistik dan butiran debat,” katanya.

Guan Eng berkata,Ka Siong jangan jadikan pembentangan Belanjawan sebagai alasan untuk menangguhkan tarikh debat berkenaan, kerana isu itu perlu diselesaikan lebih awal.

“Ia melibatkan masa depan ekonomi digital negara serta berbilion ringgit dalam pelaburan teknologi tinggi.

“Kalau betul nak fokus Belanjawan, boleh pula Wee Ka Siong pergi ke London minggu ini. Kalau boleh pi London, takkan dia tak boleh luangkan satu jam sahaja berdebat dengan saya?

“Saya ulangi sekali lagi, 23 Oktober 2021, kita debat secara live di hadapan semua rakyat Malaysia – on tak on, Wee Ka Siong?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here