PRN Melaka 20 November ini.

0
1

PILIHAN Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November ini susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Sallleh, berkata pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka berhubung dengan pembubaran DUN Melaka Penggal ke-14 pada 4 Oktober lalu.

Menurutnya, sebagaimana termaktub dalam Fasal 2 Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan menetapkan bahawa satu Pilihan Raya Umum DUN Melaka ke-15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.

Beliau berkata ia bagi mengisi kekosongan 28 kerusi DUN berkenaan.

“SPR telah menetapkan beberapa tarikh penting bagi PRN Melaka dalam Mesyuarat Khas hari ini iaitu tarikh writ pilihan raya pada 18 Oktober 2021 (Isnin) dan tarikh penamaan calon pada 8 November 2021 (Isnin).

“Tarikh mengundi awal adalah pada 16 November 2021 (Selasa) dan tarikh mengundi pada 20 November 2021 (Sabtu),” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, Bagi melaksanakan proses PRN Melaka berjalan lancar, SPR telah melantik 28 Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 80 Penolong Pegawai Pengurus.

“Manakala bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 28 Pasukan Petugas Kempen Pilihan Raya yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Menurutnya, PRN Melaka mengunapakai daftar pemilih yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu yang mengandungi seramai 495,196 pengundi.

“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dan memohon kerjasama semua pihak termasuk media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi keluar mengundi,” katanya.

Abdul Ghani berkata, garis panduan pencegahan Covid-19 bagi tujuan PRN Melaka akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PDRM dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here