PH sokong kerajaan beri dos penggalak

0
1
Petugas mencucuk vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

PAKATAN Harapan (PH) menyokong keputusan kerajaan melancarkan dos ketiga dan suntikan penggalak Covid-19 kepada yang layak, terutama bagi mereka yang berdaya ketahanan berkompromi, warga emas berkomobiiditi, petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan berisiko tinggi.

Jawatankuasa Kesihatan PH dalam kenyataan berkata, ini kerana terdapat kes-kes baru akibat dari pengurangan netralisasi antibodi berperingkat, individu-individu yang ‘immunosuppressed’ yang tidak memberi respons imun terhadap dua dos vaksin.

Selain itu, ia untuk petugas yang sering terdedah kepada virus berlebihan sekali gus membebankan kadar imuniti mereka.

“Dari 28 September hingga 11 Oktober, terdapat lebih kurang 55.6 % atau 76,186 daripada 137,109 kes-kes Covid-19 yang baharu dilaporkan di Malaysia adalah dalam kalangan yang lengkap vaksin.

“Kadar kes-kes Covid-19 yang lengkap vaksin bertambah dari 51% pada 28 September kepada 60% pada 11 Oktober.

“Pada masa yang sama, 77% daripada 23,864 kes Covid-19 di Sarawak adalah dari kalangan yang lengkap vaksin.

“Lebih daripada 50% kes-kes baru ini dilaporkan di Labuan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Perlis dan Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa itu berkata, kebanyakan daripada infeksi-infeksi baru ini adalah dari kalangan warga emas 60 tahun ke atas dengan kadar imunisasi yang berkurangan, ‘immunosuppression’ dan gejala kesihatan yang sedia ada.

“Atas fakta-fakta ini, Kerajaan Persekutuan harus menetapkan kriteria dan strategi implementasi yang jelas untuk memastikan kelancaran terutamanya apabila dijangkakan 8.75 juta rakyat yang akan menerima dos ketiga atau dos penggalak ini.

“Oleh itu program pelancaran haruslah dipelan dengan teratur, spesifik dan dikoordinasi dengan baik dikalangan semua yang terlibat termasuk Pengamal Am swasta yang ditugas untuk mengendalikan suntikan penggalak bagi semua petugas barisan hadapan dan warga emas,” katanya.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu berpendapat kerajaan harus berhati-hati dengan kenyataan rasmi Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) yang menyatakan belum terdapat penglibatan yang betul dari Jabatan Kesihatan Negeri dalam program dos ketiga dan suntikan penggalak ini.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita harus mempelajari dari kesilapan lepas termasuk penglibatan Pengamal Am swasta pada minit-minit terakhir,” katanya.

Oleh itu Jawatankuasa Kesihatan PH menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memperjelaskan strategi mereka.

Ini termasuk jangka masa yang jelas implementasi ke seluruh negara, definisi dan kategori yang jelas kelayakan untuk dos ketiga dan suntikan penggalak.

Selain itu, strategi usaha mendidik kepentingan dos tambahan kepada semua yang layak dan memastikan tiada yang ketinggalan dalam program pelancaran ini

“Melibatkan Pengamal Am di peringkat awal dan menyediakan strategi pelancaran yang jelas untuk memastikan program pelan dos ketiga dan vaksin penggalak ini adalah pantas dan efisien

“Meluluskan vaksin heterologi dengan dos penggalak secepat mungkin, berdasarkan kepada data global yang nyata,” katanya.

Jawatankuasa itu berpendirian bahawa KKM dan Agensi Pengawal Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) harus meluluskan segera suntikan vaksin heterologi dengan dos penggalak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here