‘Saya mahu selamatkan Iqbal yang telah disihir’ – Vida

0
1

USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Vida tampil menjelaskan niatnya menerjah ke rumah bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli pada jam 3 pagi, kelmarin.

Vida yang menjelaskan perkara itu dalam perkongsian video di Instagramnya mendakwa, tindakannya itu dibuat demi menyelamatkan kekasih hatinya yang didakwa telah disihir.

Menurut Vida, bagaimanapun Iqbal tidak menyedari tentang perkara itu, sekali gus menyebabkan dia nekad ke rumah Iqbal selepas meminta petunjuk Allah dengan bertahajud.

“Saya terjah sebab ingin selamatkan Iqbal yang sudah disihir walaupun dia tak rasa dia kena sihir. Saya melakukan solat tahajjud untuk meminta petunjuk daripada Tuhan, selepas saya buat, saya nekad pergi. Realitinya Iqbal sudah disihir dan dia tidak rasa dia sedang sakit.

“Saya sudah kenal dia selama tujuh tahun, kulit dia putih pun sudah jadi warna kelabu asap. Bawah mata juga sudah gelap dan saya perlu selamatkan dia,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Vida berkata, dia bertekad menyelamatkan Iqbal dan sanggup mengenepikan soal maruahnya serta tidak peduli dengan kecaman orang ramai dan netizen.

Vida atau nama penuhnya Hasmizah Othman berkata, sihir tersebut mahu ditujukan kepadanya namun Iqbal yang menjadi mangsa pihak yang iri hati dengan kebahagiaan dan kejayaannya.

Malah, Vida yang turut dilihat beremosi dalam video berkenaan susulan komen netizen yang mendakwa ia hanyalah ‘marketing’ perniagaannya berkata, terpulang kepada orang ramai untuk membuat penilaian.

“Nak cakap drama terpulang kepada semua. Sikit lagi kami akan dihalalkan. Orang keji saya. Orang kata saya tak move on. Tak apa. Untuk hal ini juga, saya sanggup merendahkan maruah pada pukul 3 pagi demi mencari lelaki muda yang menjadi kegilaan saya

“Sihir tersebut ditujukan kepada saya tetapi Iqbal yang kena. Ilmu hitam tersebut untuk buat saya tidak bahagia dan tidak kaya kerana dengki dengan kehidupan serta perniagaan saya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cincin yang diberikan kepada Iqbal, Vida berkata ianya sudah lama tersimpan di dalam begnya.

“Cincin tersebut memang sentiasa dalam beg dan dia juga sudah lama menginginkannya. Bila jumpa dia, saya beri terus. Tiada isu pun,” katanya

Terdahulu, Iqbal menerusi beberapa hantaran dalam InstaStory memberitahu, terkejut apabila selepas diterjah usahawan berkenaan di kediamannya sekitar jam 3 pagi kelmarin.

Menurut Iqbal, dia tidak menyangka Vida sanggup datang ke rumahnya hanya kerana ingin menyerahkan sebentuk cincin yang dibelinya.

“Kedatangan Datuk Seri Vida tanpa pengetahuan saya. Kali terakhir saya berhubung dengan beliau pada September lalu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here