PEMULIHAN bekalan air ke 998 kawasan di Lembah Klang yang terjejas susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) sejak Rabu lalu, hampir mencapai 100 peratus.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, setakat jam 9 pagi tadi, pemulihan bekalan air telah mencapai tahap 99 peratus.
Menurut kenyataan itu, enam daerah sudah mencatatkan kadar pemulihan 100 peratus iaitu Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.
“Sementara Kuala Lumpur (99.8 peratus) dan Klang (99.4 peratus),” kata kenyataan itu.
Air Selangor berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Sehubungan itu, orang ramai boleh melihat status pemulihan kawasan yang terjejas, Pili Air Awam serta Stesen Pengisian Air Komersial didapati di pautan hentitugas.airselangor.com,” katanya. – Malaysiapost

