PH sertai Majlis Pemulihan Negara

0
1

PAKATAN Harapan (PH) secara rasmi menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN), dengan empat wakil parti itu menghadiri mesyuarat MPN yang berlangsung semalam.

PH menerusi kenyataan hari ini, berkata penyertaan parti itu susulan lanjutan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani PH dan Kerajaan pada 13 September lalu.

“Empat wakil Pakatan Harapan telah secara rasmi menghadiri mesyuarat Majlis Pemulihan Negara yang telah berlangsung hari ini (semalam),” menurut kenyataan itu.

Empat wakil PH yang menyertai MPN adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor) dan Tan Sri Bernard Dompok (UPKO)

Menurut kenyataan itu, mesyuarat selama tiga jam itu berlangsung di Lanai Kijang dan dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat telah diberikan taklimat perkembangan terkini situasi pandemik Covid-19, cabaran-cabaran yang dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dan juga isu bantuan kecemasan makanan.

“Wakil Pakatan Harapan telah mengemukakan pandangan dan cadangan dasar di dalam mesyuarat ini,” katanya.

PH berkata, pihaknya akan meneruskan pendekatan dwipartisan dan memberi kritikan membina dan pendapat konstruktif demi memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan dengan lebih baik.

“Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara yang seterusnya dijangka diadakan dalam masa dua minggu dari sekarang,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan empat wakil PH yang menyerti MPN berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here